Tuesday, December 20, 2011

Pemuda Bangsa

Ramai pemuda hari ini menyangka ilmu yang mereka timba sudah cukup kukuh untuk mempersoal perkara-perkara yang berlaku di depan mata mereka, sudah cukup panjang akal untuk bertikam lidah dengan mereka yang jauh lebih berpengalaman, angkuh dengan buah fikiran masing-masing. Ada yang sibuk mencari nama dengan menunjukkan kepandaian yang disangka mampu menjatuhkan pihak-pihak lain. Ada pula yang sanggup berbalahan sesama saudara kerana kepercayaan masing-masing. Namun persoalannya, berapa lama lagi perlu kita tempuhi ketidaksefahaman ini? Bukankah ini sikap-sikap bangsa kita yang perlu dihapuskan sama sekali?

Apakah yang sedang berlaku kepada anak muda harapan bangsa di era pembangunan yang pesat ini? Ramai yang memberi alasan bahawa mereka lebih cerdik berbanding generasi-generasi terdahulu dengan wujudnya perkembangan dunia teknologi dan multimedia. Sedar mahupun tidak, hal ini menyebabkan budi pekerti semakin menghilang dikoyak sempadan budaya dan zaman.

Pemuda-pemudi kita berdiri teguh menyuarakan pendapat walhal anak muda lain sibuk mencari peluang untuk mendapatkan pelajaran yang secukupnya sebagai bekal buat masa hadapan. Tidak lupa juga kepada mereka yang sering menyampuk dalam pentadbiran tanah air dengan harapan suara mereka dapat didengar para pemimpin. Malang sekali, tanpa pengalaman yang cukup, ilmu yang mereka cungkil daripada bangku sekolah hanya mampu mengeruhkan lagi keadaan. Tanpa mengharungi liku-liku hidup yang sebenar, hidup mereka longlai seperti lalang, ditiup ke sana sini.

Perkara-perkara seperti ini masih belum perlu ada dalam jiwa para pemuda bangsa kerana ia diibaratkan seperti menggangu ibu bapa mereka sendiri di tempat kerja. Setinggi mana pun pencapaian para pemuda yang bergelar mahasiswa, kita masih mempelajari ilmu daripada sang guru. Jadi, sejauh mana yang mampu dicapai dengan pendapat- pendapat yang cuba disumbang sedangkan pelajaran kita masih belum mencukupi? Mungkin cukup jauh untuk menggapai gred A+ dalam peperiksaan, tetapi bukan dalam hidup. Jangan dilupa, kepandaian harus diselarikan dengan pengalaman kerana tanpa melalui saat-saat yang sebenar, kita tidak dapat membayangkan dengan tepat keadaan yang sedang berlaku.

Sebagai salah seorang mahasiswa universiti, saya ingin menasihatkan diri saya dan semua rakan-rakan seperjuangan supaya merendah diri dalam apa jua keadaan. Elakkan daripada berlaku angkuh dan sombong dengan pelajaran yang sedang kita timba kerana walau dikumpul semua pokok dijadikan pena dan seluruh lautan sebagai dakwat, masih belum cukup untuk menulis semua ilmu yang terbentang di dunia ini. Bandingkan dengan apa yang kita ketahui selama ini. Masih banyak yang perlu dipelajari, terutama daripada mereka yang lebih berpengalaman. Lalui jalan hidup secara berperingkat-peringkat berdasarkan kebolehan diri. Bak kata pepatah, kalau kail panjang sejengkal, lautan yang dalam jangan diduga. Bangunlah wahai bangsaku.

No comments: